KUPON FITRAH BERWARNA MEMUDAHKAN RAKYAT SELANGOR

Pada 16 Mac 2023, Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah memperkenalkan kupon fitrah yang berwarna mengikut nilai mata wang ringgit, bersama-sama dengan tiga kadar fitrah yang bergantung pada harga beras yang dimakan semasa bulan Ramadan tahun ini.

Kupon-kupon tersebut adalah RM7 dengan warna hijau, RM14 dengan warna merah dan RM21 dengan warna oren.

Selain itu, LZS telah melantik seramai 2,642 orang Penolong Amil Fitrah (PAF) di seluruh negeri Selangor sepanjang bulan Ramadan 1444H untuk memudahkan umat Islam di negeri tersebut menunaikan zakat fitrah.

Orang ramai diingatkan untuk hanya menunaikan zakat fitrah kepada amil yang telah dilantik oleh LZS. Identiti PAF LZS dapat dikenal pasti melalui kad tauliah dan sijil lantikan yang disahkan.

LZS telah memperluaskan penggunaan aplikasi mudah alih dalam kalangan PAF di seluruh masjid negeri Selangor sebagai satu langkah ke hadapan dalam era digitalisasi.

Sehubungan dengan itu, PAF yang dilantik telah diberi latihan khusus berkaitan dengan pengutipan zakat fitrah dan penggunaan aplikasi mudah alih tersebut. Sesi pengukuhan dan latihan ini telah diadakan sebanyak 10 kali dan melibatkan sembilan daerah di negeri Selangor dari 8 Februari hingga 28 Februari 2023.

Bayar Zakat