LZS MULA AGIH BANTUAN RAMADAN & SYAWAL RM28.6 JUTA KEPADA 62,769 ASNAF FAKIR, MISKIN DAN MUALAF  

SHAH ALAM, 29 Mac 2022 – Lembaga Zakat Selangor (LZS) hari ini mula mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM28,637,750 kepada 62,769 penerima asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor bagi membantu golongan tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini. 

Simbolik penyerahan bantuan ini disempurnakan oleh Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Tan Sri Dato’ Seri Abdul Aziz Mohd Yusof kepada 20 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf bersempena dengan Program Agihan Perdana Bantuan Ramadan dan Syawal Bagi Tahun 2022 bertempat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.  

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM9,063,050 diagihkan kepada 18,630 penerima dalam kalangan asnaf fakir, manakala sebanyak RM18,252,400 diagihkan kepada 39.955 asnaf miskin dan RM1,322,300 diagihkan kepada 4,184 asnaf mualaf. 

Setiap penerima mendapat bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. Bantuan tersebut mula disalurkan hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai. 

Pemakluman berkenaan bantuan tersebut kepada penerima yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat. Selain itu, asnaf boleh membuat semakan status bantuan secara dalam talian di ezo.zakatselangor.com.my.  

Pada tahun ini, daerah Klang mencatatkan jumlah agihan tertinggi melibatkan peruntukan sebanyak RM5,189,500 kepada 11,232 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf. Ia diikuti daerah Petaling dengan jumlah agihan sebanyak RM5,186,200 yang diagihkan kepada 11,186 asnaf di daerah tersebut dan daerah Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,124,050 kepada 8,832 asnaf.  

Sementara daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,029,00 kepada 6,836 orang asnaf, diikuti daerah Gombak mengagihkan bantuan zakat kepada 6,659 asnaf melibatkan peruntukan agihan sebanyak RM3,026,250 dan daerah Hulu Selangor mengagihkan kepada 5,375 orang asnaf dengan agihan zakat sebanyak RM2,443,450

Tiga daerah lain pula iaitu daerah Kuala Langat mencatatkan seramai 5,044 asnaf yang menerima agihan zakat sebanyak RM2,322,500 diikuti dengan daerah Sabak Bernam dengan jumlah asnaf seramai 4,832 melibatkan jumlah agihan sebanyak RM2,033,250 dan daerah Sepang yang mencatatkan jumlah agihan sebanyak RM1,283,550 kepada 2,773 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf. 

Turut hadir Ketua Divisyen Operasi Agihan Asnaf, Mohd Sabirin Mohd Sarbini. 

Bayar Zakat