Pak Abu, yang telah tinggal selama 3 tahun di Rumah Jagaan Mahmudah ini berkata, “Dulu kawan-kawan kami banyak di sini, tetapi satu persatu mereka dijemput oleh Allah dan kini hanya tinggal kami 8 orang di sini. Mungkin ini adalah takdir Allah untuk kami habiskan sisa hidup kami di sini.”
Mendengar cerita mereka, terpukau dan teringat akan hari tua kita semua. Meskipun mereka kelihatan bahagia tinggal bersama rakan sebaya, namun dalam hati mereka, rindu untuk bersama keluarga di Hari Raya tetap terpendam. Namun apa kan daya, mereka ini tiada waris. Jika ada sekali pun, pastinya mereka ada keluarga sendiri dan semuanya sibuk
Zakat Selangor yang memikul tanggungjawab dan amanah daripada pengeluar zakat, haruslah menyantuni asnaf sebaik mungkin terutamanya pada bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Syukur ke hadrat Ilahi kerana bantuan Ramadan dan Hari Raya dapat diberikan kepada 17 orang warga tua yang tiada waris di Pusat Jagaan Mahmudah dan Pusat Jagaan Siti Noraini. Hidup mereka seakan-akan menunggu jemputan Allah. Kita, yang mempunyai sedikit kelebihan, harus hadir menziarahi mereka dan memberikan sumbangan bantuan yang dapat meringankan beban mereka.
Selagi ibu bapa masih ada, lapangkanlah waktu untuk menziarahi mereka sebelum mereka dijemput oleh Allah SWT. Masa tidak boleh diputar, tapi tindakan kita hari ini akan mengelakkan penyesalan.