RM30,069,600 DIAGIH UNTUK MENYAMBUT RAMADHAN DAN SYAWAL

Lembaga Zakat Selangor (LZS) telah mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM30,069,600 kepada 64,819 ketua keluarga asnaf fakir, miskin, dan mualaf di seluruh Selangor untuk membantu mereka menyambut Ramadan dan Syawal. Penyerahan bantuan ini disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pemegang Amanah LZS, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, kepada 10 orang penerima sempena Program Bantuan Ramadan dan Hari Raya Bagi Tahun 2023 di Dewan Besar Kolej Vokasional Gombak, Selangor.

Bantuan zakat di antara RM300 hingga RM1,000 akan diberikan kepada setiap penerima bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga. Bantuan tersebut akan disalurkan sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.

Penerima bantuan yang layak akan dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau surat dan mereka juga boleh membuat semakan status bantuan secara atas talian di ezo.zakatselangor.com.my.

Daerah Petaling mencatatkan jumlah agihan zakat tertinggi iaitu sebanyak RM5,593,750 kepada 11,799 orang asnaf fakir, miskin dan mualaf. Ia diikuti oleh daerah Klang dengan jumlah agihan sebanyak RM5,447,950 yang diagihkan kepada 11,743 asnaf dan daerah Hulu Langat yang memperuntukkan sebanyak RM4,433,400 kepada 9,415 asnaf.

Sementara itu, daerah Kuala Selangor mengagihkan bantuan zakat sebanyak RM3,178,950 kepada 6,979 orang asnaf, diikuti oleh daerah Gombak dan daerah Hulu Selangor. Tiga daerah lain iaitu daerah Sabak Bernam, daerah Kuala Langat dan daerah Sepang turut menyumbang kepada agihan zakat. Pada bulan Februari lalu, LZS turut menyalurkan peruntukan zakat sebanyak RM32,615,896.00 bagi membiayai persiapan persekolahan 67,798 anak asnaf fakir, miskin dan mualaf sesi persekolahan 2023.

Bayar Zakat